Rasulullah SAW, dengan sahabat-sahabatnya Sayidina Abu bakar, Sayidina Umar, Sayidina Uthman bertamu ke rumah Sayidina Ali.
Di rumah Sayidina Ali, isterinya Sayidatina Fatimah menghidangkan mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu.
Rasulullah SAW kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut)
Abu Bakar berkata, "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut."
Umar berkata, "Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut."
Uthman berkata, "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut."
Ali berkata, "Tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumanya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."
Fatimah berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali mahramnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut."
Rasulullah SAW berkata, "Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."
Malaikat Jibril berkata, "Menegakkan pilar-pilar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri, harta dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut."
Allah berfirman, "SyurgaKu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat SyurgaKu itu lebih manis dari madu dan jalan menuju SyurgaKu adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."
Bukan Kerana Niqab

Langkah kaki gadis itu terhenti. Di kaki lima, depan kedai buku.
Dia berpaling. Memang sedari tadi, dari dalam kedai buku lagi dia perasan
ada seorang jejaka mengekorinya. Tak rapat. Tapi, pandangan mata lelaki itu
senang saja dikesan memerhatikannya.
"Okaylah. Awak nak apa dari saya?"
Lelaki itu buat-buat tak dengar pada mulanya. Tapi, akhirnya mengalah.
Menghampiri gadis berniqab hitam tak nampak kening tu. Hati-hati, berjarak.
"Ingat tak, saya kawan awak di Facebook? Selalu tengok awak post
purdah yang awak jual."
Lelaki itu memperkenalkan diri.
Gadis itu cuma diam. Mengangguk.
"Okay, saya minta diri dulu ya." Dia nak balik. Tapi, lelaki itu
cepat-cepat menghalangnya.
"Ada apa lagi ni?" Gadis itu segera bertanya. Dia pun rasa cemas.
Ya lah, orang tak dikenali. Kawan di media sosial hanya semudah tekan add dan
remove. Bukan kenal pun. Tak pernah bercakap pun. Pernahlah tengok lelaki itu
singgah dan komen di wall, tapi sekadar itu saja.
"Saya berminatlah dengan awak. Boleh tak kalau saya nak teruskan lebih
lanjut kenali awak?"
Gadis itu terdiam seketika. Keningnya berkerut tapi lelaki itu tak nampak
pun ekspresi mukanya. Dia masam atau senyum, tak dapat diagak dengan tepat.
"Untuk?"
"Untuk jadikan awak isteri kalau Dia izinkan."
Gadis itu terpana seketika. Diam lagi.
"Kenapa saya?" Gadis itu cuba menduga lelaki di hadapannya itu.
Lelaki itu nampak tenang dalam cuaknya.
Tapi, lelaki itu tidak menjawab. Hanya senyum.
"Tak boleh ke saya berterus-terang gini?" Dipantulkan kembali
persoalan.
Ah. Berbelit-belit. Gadis itu mulai bengang dalam hati. Lantas menjawab,
"Awak, saya pun boleh terus-terang. Adakah sebab niqab yang saya pakai
ini menjadikan saya nampak menarik, lalu awak tertarik pada penampilan luaran
saya?
Adakah kerana kesilapan saya upload gambar niqab di media sosial, itu pun
untuk tujuan sales, buat awak suka pada luaran saya?
Awak jangan ingat, ada wajah yang cantik di sebalik niqab ini. Tidak, saya
pakai bukan sebab saya seorang yang cantik. Saya biasa-biasa saja.
Ini cuma pakaian. Bukan kerana ianya pakaian isteri-isteri Nabi SAW, jadi
saya pakai untuk menunjuk-nunjuk pakaian sayalah paling sunnah. Tidak. Saya
pakai ada sebabnya sendiri.
Benda ni pada mulanya sangat merimaskan. Bau nafas mulut sendiri, nak makan
minum kena ada teknik. Banyaklah yang awak lelaki tak tahu.
Sebab benda ni leceh dan banyak benda kena jaga bila pakai, ianya melatih
diri saya. Bila pakai niqab penuh ni, tak nampak kening ni, orang akan sangka
saya seorang yang solehah.
Tidak. Saya seorang pendosa. Wallahi mungkin lebih berdosa dari orang yang
tak pakai.
Bila pakai benda ni; susahnya menjaga ikhlas hati. Andai saya riak, ujub,
takabbur memakainya, saya berdosa.
Bila saya merasakan diri lebih baik dari yang freehair atau orang lain,
saya berdosa.
Bila saya menampilkan diri saya di media sosial sangat kerap dengan lagak
dan posing bermacam pesen, saya berdosa kerana mencemarkan imej para niqabis
sejati. Sedangkan saya baru niqabis yang bertatih!
Bila pakai lense mahupun
celak berlebihan hatta terlajak mengenakan maskara, saya berdosa. Saya pakai niqab tapi saya tabarruj.
Bila saya pakai benda ni, tapi saya tak solat di awal waktu, tak ikut
suruhan Allah, saya berdosa. Lebih solehah pakaian dari si pemakai. Malunya
saya pada pakaian.
Bila saya pakai, saya tak boleh gedik ataupun ikhtilat dengan ajnabi. Saya
berdosa. Palitkan imej buruk pada golongan niqabis. Nanti dikatakan kerana nila
setitik, habis rosak dua tiga botol susu sedunia.
Jadi, saya nak awak jelas di sini, saya pakai bukan kerana nak nampak
cantik. Tapi, sebab saya nak latih diri jadi lebih baik. Biarlah saya ajar malu
pada pakaian yang saya pakai. Kemudian, lama-lama saya reti malu pada Allah
yang menjadikan saya. Hinggalah tahap tertinggi, ikhlas penuh di dalam hati."
Lelaki itu terdiam seketika mendengar bebelan si gadis. Lantas tersenyum.
"Jadi, jawapan awak ni, membuatkan saya makin yakin, awaklah pilihan
hati saya."
Gadis itu makin terkejut. Psikotik ke lelaki ni? Dia tak senang. Dia rimas.
Dia kena buat tindakan drastik ni.
Lantas si gadis membuka niqabnya. Menunjukkan wajah di balik tirai hitam
itu.
"Inilah saya. Puas hati awak sekarang?"
Ditutup kembali. Lantas berpaling. Pergi dari situ. Lelaki itu sekali lagi
menghalangnya.
"Awak. Bukan kerana rupa.
Bukan kerana itu.
Tapi, kerana hati ini telah condong kepada awak.
Tulusly."
Lelaki itu mengeluarkan gambarnya, dengan alamat dan biodata tertulis
lengkap di belakang gambar.
"Serahkan ini semua pada orang tua awak. Katakan pada mereka, jika
mereka izin, saya nak datang ke rumah bincang dengan lebih lanjut.
Lulus ke tak lulus, awak boleh hubungi saya maklumkan. Insya-Allah, saya
reda segalanya.
Baik, saya pergi dulu. Maaf, ambil masa awak. Mungkin cara approach ini tak
kena, tapi saya serius tak tahu bagaimana nak sampaikan kepada keluarga awak.
Minta maaf sekali lagi."
Lelaki itu berlalu.
***
Tiga bulan lepas itu, mereka disatukan dalam majlis kecil-kecilan. Lelaki
itu yang kini suaminya duduk di sebelahnya setelah hadirin semua pulang.
Mengusap pipi isterinya lembut. Ada tompok besar hitam tanda lahir di wajah
isterinya. Suami itu tetap senyum. Bahagia. Syukur.
Bukan kerana rupa bak bidadari, tapi hati nan suci cinta Ilahi.
Di saat orang melihat cela, pasti akan ada yang memandangmu istimewa.
Pasti. Yakin. Allah telah jadikan sempurna jalan cerita.

Khaulah Al Azwar : Si Bidadari Besi

Siapakah gerangan pejuang ini?
Khaulah Al-Azwar merupakan srikandi yang menjadi tonggak dalam perjuangan. Kekuatan mental dan fizikalnya menunjukkan kehebatannya di medan perang. Beliau tidak pernah berasa gentar biar musuh menyerang dan ada yang cuba menghalang. Semangat kepahlawanannya terus mengalir tanpa batasan.
Susuk tubuh yang tinggi lampai dan tegap ini merupakan seorang yang pandai bermain pedang dan tombak sejak dari kecil lagi. Kemahiran dan teknik bertempurnya diwarisi daripada ayahnya Al-Azwar. Lantas beliau menjadi seorang wanita yang mahir berkuda dan bermain pedang.
Keberanian yang terzahir dalam dirinya sungguh mengagumkan. Ketangkasannya menunggang kuda sukar untuk dipertikaikan kerana lagaknya menonjolkan kewibawaan.
Malah kerana kehandalannya bertempur membuatkan beliau mahsyur dalam perjuangan sehingga namanya terlakar megah dalam sejarah Islam dan menjadi pemangkin semangat para Muslimin dan Muslimat. Bahkan kehebatan yang dimiliki oleh Khaulah itu membuatkan Rasulullah SAW sendiri telah membenarkan beliau turut serta di dalam angkatan peperangan Muslimin bersama mujahidah yang lain.
Antara peperangan yang menonjolkan kehebatan beliau adalah ketika adiknya Dhirar Al-Azwar dijadikan tawanan tentera Rom. Perasaan kasih dan tanggungjawab yang mengalir di dalam hatinya mendorong Khaulah untuk turut serta di dalam operasi tentera Muslimin untuk menyelamatkan saudaranya itu. Kepimpinan dan kehebatan jiwa dan fizikal Khaulah jelas kelihatan ketika berlakunya satu penggempuran di sekitar Damascus, Syam. Pada ketika itu, Khalid Al-Walid telah mengetuai siri peperangan tersebut.
Kisah kehandalannya yang paling masyhur adalah dalam satu operasi tentera Muslimin itu. Raafe bin Umaira panglima skuad sebelum ketibaan Khalid mengungkapkan ketakjuban tentang Khaulah yang ketika itu belum mengetahui bahawa pahlawan perang tersebut adalah Khaulah kerana dia menutup wajahnya.
"Dia berlawan seperti Khalid, namun jelas dia bukan Khalid!"
Kagum dengan pemandangan yang menkjubkan tersebut, pasukan muslimin masih belum dapat melihat siapa gerangan pahlawan itu, kecuali mengetahuinya sebagai anak muda yang menunggang kuda.
Dengan berselubung lengkap dan menutup wajahnya, Khaulah telah bergerak ke medan tempur.
Beliau menjadi seorang pejuang misteri yang begitu handal dengan berbekalkan semangat jihad dan keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT. Beliau langsung tidak memikirkan bahaya yang ada di hadapannya.
Di saat tentera Rom menyerang tanpa henti sehingga menyebabkan tentera Muslimin semakin lemah dan keletihan untuk berlawan, Khaulah telah meluncur laju ke arah musuh, membawa semangat yang berkobar-kobar lalu bertempur dengan handal dan cermat untuk membantu tentera Muslimin.
Pada ketika itu, Khaulah telah mempamerkan kehandalannya berkuda dan bertempur dengan tombak. Beliau telah membunuh dan mencederakan barisan tentera Rom tanpa memikirkan keselamatannya. Pertempurannya itu telah membangkitkan semangat tentera Muslimin untuk terus berjuang, biarpun mereka tidak mengetahui bahawa susuk tubuh yang sedang bertempur itu milik seorang wanita.
Pejuang misteri itu terus menimbulkan tanda tanya kepada pejuang Muslimin. Ketangkasannya bertempur dengan pihak musuh begitu menakjubkan bagi Khalid Al-Walid dan tenteranya. Melihat kesungguhan dan keberanian pejuang misteri itu, Khalid mengambil peluang untuk membakar semangat pejuang-pejuangnya,
"Wahai tentera Islam, berjuanglah membantu pembela agama Allah ini, perkuatlah kedudukan orang yang bersendirian itu."
Lantas pejuang-pejuang Islam terus bangkit bersama-sama Khaulah untuk memerangi pihak musuh.
Khalid al Walid mendekati sang penunggang kuda itu lalu bertanya, "Wahai pejuang, tunjukkan wajah kamu!"
Sepasang mata hitam menatap Khalid sebelum berbalik dan kembali menyerang tentera Rom.
Kemudian beberapa orang tentera Khalid menyusul dan berkata kepadanya.
"Wahai pejuang yang mulia, ketua telah memanggil dan kamu telah pergi darinya! Tunjukkanlah kepada kami wajah dan sebutkan nama kamu agar kamu dapat dihormat selayaknya."
Sang penunggang kuda itu kembali pergi seolah dengan sengaja merahsiakan identitinya. Ketika sang penunggang kuda kembali dari serangannya dia berlalu di sisi Khalid, yang menyuruhnya dengan tegas untuk berhenti.
Dia menarik kudanya berhenti, Khalid bertanya "Kamu telah berbuat banyak perkara yang memenuhi hati kami dengan kekaguman. Siapakah kamu?"
Khalid hampir terjatuh dari kudanya ketika dia mendengarkan jawapan dari penunggang kuda tersebut, kerana yang didengarnya adalah suara seorang gadis.
"Wahai ketua, bukannya aku enggan menjawab pertanyaan kamu, hanya kerana aku berasa malu, kerana kamu seorang pemimpin yang agung, sedangkan aku hanyalah perempuan biasa. Tiada lain yang mendorong aku untuk melakukan hal seperti itu melainkan kerana hati aku terbakar dan aku sangat sedih."
Beliau akhirnya mendedahkan identitinya yang telah mengejutkan tentera Muslimin, lebih-lebih lagi Khalid Al-Walid sendiri. Mereka tidak menyangka bahawa ketangkasan dan kehebatan pejuang misteri itu datangnya daripada seorang wanita. Khalid kagum dengan Al-Azwar yang menjadi ayah kepada pejuang yang berani baik lelaki mahupun perempuan.
"Kalau begitu bergabunglah bersama kami." ucap Khalid. :)
Kesedihan dan kemarahan tentang berita tertawannya saudara lelaki yang amat dikasihinya iaitu Dhirar bin Al-Azwar lantas membuatnya tampil ke medan perang sebagai pejuang dan tidak lagi berada di barisan belakang yang ditugaskan untuk merawat tentera yang cedera dan mengurus perbekalan sebagaimana yang dilakukan sebelumnya bersama para wanita yang ikut dalam peperangan.
Kekuatan dan keberaniannya mengalahkan 1000 orang tentera kafir sungguh membanggakan. Akhirnya, tentera Muslimin, bersama Khaulah berjaya membebaskan panglima Dhirar dalam satu operasi serangan berikutnya di Beit Lahiya, Gaza, Palestin.
Penyertaan Khaulah dalam peperangan tidak berakhir di situ sahaja. Beliau telah menyertai beberapa peperangan selepas itu termasuklah perang Sahura. Ketika peperangan itu berlaku, Khaulah dan beberapa orang wanita telah menjadi tawanan oleh pihak musuh. Mereka telah dikurung dan dikawal rapi selama beberapa hari lamanya tanpa senjata untuk melepaskan diri.
Berada di dalam keadaan genting seperti itu membuatkan Khaulah tidak senang duduk. Mahu menanti pihak tentera Islam menyerang balas dan menyelamatkan mereka mungkin mengambil masa yang lama. Lantas Khaulah memikirkan cara untuk melepaskan diri. Setelah memikirkannya, tidak ada cara lain yang paling berkesan melainkan membakar semangat sahabat-sahabatnya yang lain, agar terus berjuang dan bertindak pantas sebelum musuh mengapa-apakan mereka. Khaulah sedar Allah SWT sendiri yang memberi jaminan bahawa kekuatan jiwa boleh mengalahkan kekuatan senjata. Maka Khaulah pun berkata kepada sahabat-sahabatnya itu:
"Wahai sahabat-sahabatku yang sedang berjuang di jalan Allah, apakah saudari-saudari sanggup menjadi hamba kepada orang Rom yang dilaknati Allah SWT? Relakah saudari dihina dan dicaci maki oleh orang Rom durjana itu? Di manakah letaknya harga diri saudari sebagai seorang Islam yang bertaqwa? Sesungguhnya mati itu adalah lebih baik bagi kita semua daripada menjadi hamba-hamba orang Rom!"
Mendengar kata-kata yang penuh dengan keterujaan daripada Khaulah itu, seorang daripada mereka menjawab,
"Sesungguhnya apa yang engkau katakan itu adalah benar. Demi Allah, kami semua mempunyai harga diri. Pedang lebih berguna dalam keadaan begini. Kalau kita lalai umpama kambing yang tidak bertanduk tifak (mempunyai senjata)."
Perbincangan dilakukan dan masing-masing mengemukakan berbagai pendapat dan semuanya menunjukkan ingin mati syahid. Tidak seorang pun yang mahu menjadi hamba kepada orang kafir itu. Tetapi malangnya mereka tidak mempunyai senjata hatta sebilah pisau pun. Lantas Khaulah berkata menjawab keresahan di hati sahabat-sahabatnya itu:
"Wahai wanita-wanita Muslimah sekalian, tiang-tiang dan tali khemah ini sangat berguna bagi kita dan cukuplah ini saja senjata kita. Syahid lebih baik bagi kita dan inilah saja cara yang terbaik untuk kita melepaskan diri dari kehinaan ini, sebelum mereka dapat menyentuh kita atau menyentuh salah seorang dari kita. Mari kita bersumpah untuk bersatu dalam hal ini untuk menyerah diri kepada Allah. Sesungguhnya Allah akan menolong orang-orang yang menolong-Nya."
Dengan semangat yang berkobar-kobar di dalam hati, mereka membalas, "Demi Allah, segala kata-katamu itu adalah benar. Kami tidak rela hidup dihina, syahid lebih baik bagi kami daripada hidup menanggung malu." Tekad para tawanan itu.
Setelah menetapkan harinya maka mereka pun melaksanakan perancangan yang telah dibincangkan. Sebelum bertindak, mereka berdoa bersungguh-sungguh pada Allah dan bertaubat dengan segala dosa yang lalu. Mereka menangis dan merayu memohon Allah memberi kekuatan jiwa dan memudahkan urusan mereka. Mereka juga berharap semoga datangnya bantuan-bantuan ghaib untuk menolong mereka.
Khaulah telah mengetuai misi yang berat itu. Dia juga memimpin dan mengajar mereka untuk menjayakan perancangan menentang pihak musuh. Sebelum itu dia memberi taklimat kepada anak-anak buahnya:
"Wahai saudari, jangan sekali-kali gentar dan takut. Kita harus bersatu dalam perjuangan ini dan jangan ada yang terkecuali, patahkan tombak mereka, hancurkan pedang mereka, perbanyakkan bacaan takbir dan yang penting ialah saudari mesti kuatkan hati saudari semua. InsyaAllah pertolongan Allah sudah dekat."
Begitulah keyakinan yang ditonjolkan oleh Khaulah. Berkat keberaniannya mereka terselamat dari segala bentuk bencana itu. Orang-orang Rom ketakutan kerana serangan yang datang secara tiba-tiba. Khaulah berjaya merampas sebuah tombak lalu digunakan untuk bertempur sedangkan tiang di tangan kanannya digunakan untuk melindungi dirinya dari tusukan tombak dan libasan pedang.
Akhirnya Khaulah dan semua wanita tersebut berjaya memecah-belahkan pasukan Rom dan dapat melepaskan diri dari kafir durjana dan kembali ke pasukan Islam dengan selamatnya.
Langgan:
Catatan (Atom)