Inikah Jiwa Seorang Muslimah?


"Dengan nama Allah, sekarang ana edarkan satu persatu kertas A4 dan selotep pada setiap seorang antara ukhtie. Kemudian minta bantuan sahabat untuk lekatkan kertas putih itu di belakang masing-masing. Ana mahu ukhtie sekalian menulis kerana Allah tentang persepsi ukhtie kepada sahabat. Setiap kertas mestilah ada 20 persepsi sama ada positif atau negatif. Dalam masa 15 minit dari sekarang semua boleh bergerak."

Kak Ifah selaku naqibah memulakan aktiviti.

Lirik lagu Brothers: Teman Sejati mula dimainkan.
Memecahkan ruangan dewan.

Selama ini ku mencari-cari teman yang sejati,
Buat menemani perjuangan suci,
Bersyukur kini pada-Mu Illahi,
Teman yang dicari selama ini,
Telah kutemui..

Dengannya di sisi, perjuangan ini senang diharungi
Bertambah murni kasih Illahi.
Kepada-Mu Allah ku panjatkan doa agar berkekalan
Kasih sayang kita..

Muzik dimatikan !

"Baik. Semua bawa bertenang. Tenang, tenang, tenang. Balik ke tempat asal dan duduk dalam keadaan senyap tanpa bunyi. pandang hadapan, jangan tanggalkan kertas selagi belum diberi arahan."

" Hahahahaha. . orang cerewet. "
" Hahaha. . gadis kuat makan. "
" Hahahaha. . lembap. "
" Hahahaha. . budak poyo."

Gelak tawa semua orang mula memecahkan kesunyian. Kerana masing-masing membaca kertas sahabat yang duduk di hadapan mereka. Allahu, dalam hati ini berbisik, sampainya hati mereka mentertawakan sahabat sendiri.

" Senyap semua. senyap. Sekarang ana minta tanggalkan kertas di belakang ukhtie, dalam masa 1 minit baca dan hayati."

Kak ifah terus mengawal keadaan dan meneruskan agenda.

Dengan perasaan yang berdebar-debar, dengan perasaan ingin tahu yang menebal semua excited dan tidak sabar untuk membaca persepsi orang terhadap diri sendiri. Allah humma solli ala sayyidina muhammad wa ala ali muhammad. Saya tarik nafas panjang. Kemudian saya baca.

Allah Allah Allah. .Deraian demi deraian mula membasahi niqab.
Saya lipat kemas kertas putih itu, simpan dalam poket jubah.

" Siapa yang kertasnya banyak ditulis dengan benda negatif, tampil ke hadapan. "

Ada lebih kurang 8,9 orang yang mengangkat tangan. Kemudian Mila dipilih sebagai wakil untuk tampil.

"Mila. Ana mahu enti luahkan apa yang tersimpan dalam hati."


Belum sempat pun diserahkan mikrofon ke arahnya, air matanya mengalir laju. Lagu teman sejati dimainkan perlahan, sayu kedengaran. Ya Allah. Sebak.

" Bismillahirahmannirahim.. Persepsi orang terhadap diri ana. Pertama sombong, kedua selfish, ketiga tak reti bergurau, keempat muka garang, kelima suka cakap lepas, keenam panas baran. ketujuh pemalas, kelapan. . . Kelapan. . . "

Saya pusing belakang, ada yang bersimpati, ada yang tersengih-sengih.

Suaranya terketar-ketar, linangan air mata semakin laju, wajahnya menjadi merah, kertas di tangan dibasahi air mata. Bicaranya terhenti, lagu teman sejati terus bergema memecahkan halwa telinga. Air mata sudah tidak dapat ditahan lagi, Ya Allah.. Dada terasa sakit yang amat. Tidak mampu melihat air matanya berlinangan terus mengalir seperti air sungai yang tidak mahu berhenti. Saya angkat tangan, tanpa dipinta terus meluru ke hadapan. Tubuhnya kupeluk erat. Kami saling bertukar tangisan.

Berikan aku kekuatan Ya Allah.

"Maafkan ana Kak ifah. Izinkan ana meluahkan sesuatu."

Kak Ifah yang turut menitiskan air mata mengangguk tanda bersetuju tanpa ada sebarang kata terhadap permintaanku.

"Inikah 'jiwa' seorang muslimah? Inikah 'jiwa' seorang wanita bertudung labuh? jiwa bakal ketua bidadari? jiwa seorang akhwat yang mendalami agama? Inikah jiwa-jiwa yang mahu meraih syurga? Inikah? Ana tanya enti, inikah? Sampai hati enti membuat persepsi yang begitu teruk pada dia? Sampai hati enti tergelak-gelak, tersengih-sengih melihat dia menangis menangis dan menangis di hadapan. Puas hati enti? Puas? Inikah persepsi kerana Allah? Inikah yang dinamakan luahan paling ikhlas? Luahan yang lahir dari hati muslimah yang mulia? Yang mendalami islam? Yang kononnya mahu meraih jannah? Ini? Sampai hati enti."

Ya Allah air mata ini terus jatuh. Sebak, sangat sangat sebak. Niqab kini basah seperti dibasahi air hujan. Semuanya mengalir air mata. Ada yang tertunduk, terdengar esakan sesama sendiri. Lirik Lagu teman sejati terus masuk ke hati yang paling dalam. Ya Allah.. Beri aku kekuatan untuk terus berkata-kata.

"Nah. enti lihat kertas ana. Setiap persepsi ditulis benda positif secara menyeluruh. Tetapi sebaik membacanya ana terus lipatkan sahaja dan menitiskan air mata. Tahu kenapa ana menangis? Tahu? Kerana semua orang anggap ana mulia, kerana semua orang anggap ana baik, kerana semua orang anggap ana suci, kerana semua orang anggap ana tiada dosa, tapi bagaimana dengan Allah? Bagaimana dengan Rasulullah? Bagaimana dengan penduduk langit? Bagaimana? Ana tanya enti bagaimana sekiranya ana terlalu hina, jijik, kotor, najis pada pandangan Allah? Maka bermakna lagikah segala pandangan, persepsi, yang ditulis semua itu? Ana kenal diri ana, ana kenal siapa ana, setiap dosa-dosa yang ana lakukan di belakang manusia ada pada pandangan Allah, ada pada catatan malaikat, sebab itulah ana terus melipat kertas itu tadi dan menitiskan air mata. Ana berfikir, siapa ana untuk dimuliakan? Layakkah ana? Bagaimana kalau orang-orang yang enti buat persepsi hina, jijik, najis tetapi merekalah yang paling dekat dengan Allah? Bagaimana Kalau mereka orang yang berjaya ke syurga? Ya Allah.. Allah humma solli ala sayyidina Muhammad wa ala ali Muhammad."

Air mata masih mengalir.
Biar, biar diri tahu diri siapakah sebenarnya diri.

Sumber : Facebook