Kisah Mangkuk, Madu dan Rambut

Rasulullah SAW, dengan sahabat-sahabatnya Sayidina Abu bakar, Sayidina Umar, Sayidina Uthman bertamu ke rumah Sayidina Ali.

Di rumah Sayidina Ali, isterinya Sayidatina Fatimah menghidangkan mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. 

Rasulullah SAW kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut)

Abu Bakar berkata, "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut."

Umar berkata, "Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Uthman berkata, "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Ali berkata, "Tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumanya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Fatimah berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali mahramnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Rasulullah SAW berkata, "Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Malaikat Jibril berkata, "Menegakkan pilar-pilar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri, harta dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Allah berfirman, "SyurgaKu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat SyurgaKu itu lebih manis dari madu dan jalan menuju SyurgaKu adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Bukan Kerana Niqab


Langkah kaki gadis itu terhenti. Di kaki lima, depan kedai buku.
Dia berpaling. Memang sedari tadi, dari dalam kedai buku lagi dia perasan ada seorang jejaka mengekorinya. Tak rapat. Tapi, pandangan mata lelaki itu senang saja dikesan memerhatikannya.
"Okaylah. Awak nak apa dari saya?"
Lelaki itu buat-buat tak dengar pada mulanya. Tapi, akhirnya mengalah. Menghampiri gadis berniqab hitam tak nampak kening tu. Hati-hati, berjarak.
"Ingat tak, saya kawan awak di Facebook? Selalu tengok awak post purdah yang awak jual."
Lelaki itu memperkenalkan diri.
Gadis itu cuma diam. Mengangguk.
"Okay, saya minta diri dulu ya." Dia nak balik. Tapi, lelaki itu cepat-cepat menghalangnya.
"Ada apa lagi ni?" Gadis itu segera bertanya. Dia pun rasa cemas. Ya lah, orang tak dikenali. Kawan di media sosial hanya semudah tekan add dan remove. Bukan kenal pun. Tak pernah bercakap pun. Pernahlah tengok lelaki itu singgah dan komen di wall, tapi sekadar itu saja.
"Saya berminatlah dengan awak. Boleh tak kalau saya nak teruskan lebih lanjut kenali awak?"
Gadis itu terdiam seketika. Keningnya berkerut tapi lelaki itu tak nampak pun ekspresi mukanya. Dia masam atau senyum, tak dapat diagak dengan tepat.
"Untuk?"
"Untuk jadikan awak isteri kalau Dia izinkan."
Gadis itu terpana seketika. Diam lagi.
"Kenapa saya?" Gadis itu cuba menduga lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu nampak tenang dalam cuaknya.
Tapi, lelaki itu tidak menjawab. Hanya senyum.
"Tak boleh ke saya berterus-terang gini?" Dipantulkan kembali persoalan.
Ah. Berbelit-belit. Gadis itu mulai bengang dalam hati. Lantas menjawab,
"Awak, saya pun boleh terus-terang. Adakah sebab niqab yang saya pakai ini menjadikan saya nampak menarik, lalu awak tertarik pada penampilan luaran saya?
Adakah kerana kesilapan saya upload gambar niqab di media sosial, itu pun untuk tujuan sales, buat awak suka pada luaran saya?
Awak jangan ingat, ada wajah yang cantik di sebalik niqab ini. Tidak, saya pakai bukan sebab saya seorang yang cantik. Saya biasa-biasa saja.
Ini cuma pakaian. Bukan kerana ianya pakaian isteri-isteri Nabi SAW, jadi saya pakai untuk menunjuk-nunjuk pakaian sayalah paling sunnah. Tidak. Saya pakai ada sebabnya sendiri.
Benda ni pada mulanya sangat merimaskan. Bau nafas mulut sendiri, nak makan minum kena ada teknik. Banyaklah yang awak lelaki tak tahu.
Sebab benda ni leceh dan banyak benda kena jaga bila pakai, ianya melatih diri saya. Bila pakai niqab penuh ni, tak nampak kening ni, orang akan sangka saya seorang yang solehah.
Tidak. Saya seorang pendosa. Wallahi mungkin lebih berdosa dari orang yang tak pakai.
Bila pakai benda ni; susahnya menjaga ikhlas hati. Andai saya riak, ujub, takabbur memakainya, saya berdosa.
Bila saya merasakan diri lebih baik dari yang freehair atau orang lain, saya berdosa.
Bila saya menampilkan diri saya di media sosial sangat kerap dengan lagak dan posing bermacam pesen, saya berdosa kerana mencemarkan imej para niqabis sejati. Sedangkan saya baru niqabis yang bertatih!
Bila pakai lense mahupun celak berlebihan hatta terlajak mengenakan maskara, saya berdosa. Saya pakai niqab tapi saya tabarruj.
Bila saya pakai benda ni, tapi saya tak solat di awal waktu, tak ikut suruhan Allah, saya berdosa. Lebih solehah pakaian dari si pemakai. Malunya saya pada pakaian.
Bila saya pakai, saya tak boleh gedik ataupun ikhtilat dengan ajnabi. Saya berdosa. Palitkan imej buruk pada golongan niqabis. Nanti dikatakan kerana nila setitik, habis rosak dua tiga botol susu sedunia.
Jadi, saya nak awak jelas di sini, saya pakai bukan kerana nak nampak cantik. Tapi, sebab saya nak latih diri jadi lebih baik. Biarlah saya ajar malu pada pakaian yang saya pakai. Kemudian, lama-lama saya reti malu pada Allah yang menjadikan saya. Hinggalah tahap tertinggi, ikhlas penuh di dalam hati."
Lelaki itu terdiam seketika mendengar bebelan si gadis. Lantas tersenyum.
"Jadi, jawapan awak ni, membuatkan saya makin yakin, awaklah pilihan hati saya."
Gadis itu makin terkejut. Psikotik ke lelaki ni? Dia tak senang. Dia rimas. Dia kena buat tindakan drastik ni.
Lantas si gadis membuka niqabnya. Menunjukkan wajah di balik tirai hitam itu.
"Inilah saya. Puas hati awak sekarang?"
Ditutup kembali. Lantas berpaling. Pergi dari situ. Lelaki itu sekali lagi menghalangnya.
"Awak. Bukan kerana rupa.
Bukan kerana itu.
Tapi, kerana hati ini telah condong kepada awak.
Tulusly."
Lelaki itu mengeluarkan gambarnya, dengan alamat dan biodata tertulis lengkap di belakang gambar.
"Serahkan ini semua pada orang tua awak. Katakan pada mereka, jika mereka izin, saya nak datang ke rumah bincang dengan lebih lanjut.
Lulus ke tak lulus, awak boleh hubungi saya maklumkan. Insya-Allah, saya reda segalanya.
Baik, saya pergi dulu. Maaf, ambil masa awak. Mungkin cara approach ini tak kena, tapi saya serius tak tahu bagaimana nak sampaikan kepada keluarga awak. Minta maaf sekali lagi."
Lelaki itu berlalu.
***
Tiga bulan lepas itu, mereka disatukan dalam majlis kecil-kecilan. Lelaki itu yang kini suaminya duduk di sebelahnya setelah hadirin semua pulang.
Mengusap pipi isterinya lembut. Ada tompok besar hitam tanda lahir di wajah isterinya. Suami itu tetap senyum. Bahagia. Syukur.
Bukan kerana rupa bak bidadari, tapi hati nan suci cinta Ilahi.
Di saat orang melihat cela, pasti akan ada yang memandangmu istimewa.
Pasti. Yakin. Allah telah jadikan sempurna jalan cerita.


Khaulah Al Azwar : Si Bidadari Besi


Kelihatan kelibat seseorang yang berpakaian hitam berbekalkan serban hijau, wajahnya ditutupi lalu terus meluncur laju ke arah musuh, bertempur dengan handal dan cermat mempamerkan kehandalannya berkuda dan bertempur dengan tombak. Dia meluncur laju ke arah barisan musuh, membunuh seorang demi seorang dengan menggunakan tombaknya, lalu meluncur pula ke arah barisan musuh di bahagian lainnya lalu mencederakan dan membunuh musuh yang lain.

Siapakah gerangan pejuang ini?

Khaulah Al-Azwar merupakan srikandi yang menjadi tonggak dalam perjuangan. Kekuatan mental dan fizikalnya menunjukkan kehebatannya di medan perang. Beliau tidak pernah berasa gentar biar musuh menyerang dan ada yang cuba menghalang. Semangat kepahlawanannya terus mengalir tanpa batasan.

Susuk tubuh yang tinggi lampai dan tegap ini merupakan seorang yang pandai bermain pedang dan tombak sejak dari kecil lagi. Kemahiran dan teknik bertempurnya diwarisi daripada ayahnya Al-Azwar. Lantas beliau menjadi seorang wanita yang mahir berkuda dan bermain pedang.

Keberanian yang terzahir dalam dirinya sungguh mengagumkan. Ketangkasannya menunggang kuda sukar untuk dipertikaikan kerana lagaknya menonjolkan kewibawaan.

Malah kerana kehandalannya bertempur membuatkan beliau mahsyur dalam perjuangan sehingga namanya terlakar megah dalam sejarah Islam dan menjadi pemangkin semangat para Muslimin dan Muslimat. Bahkan kehebatan yang dimiliki oleh Khaulah itu membuatkan Rasulullah SAW sendiri telah membenarkan beliau turut serta di dalam angkatan peperangan Muslimin bersama mujahidah yang lain.

Antara peperangan yang menonjolkan kehebatan beliau adalah ketika adiknya Dhirar Al-Azwar dijadikan tawanan tentera Rom. Perasaan kasih dan tanggungjawab yang mengalir di dalam hatinya mendorong Khaulah untuk turut serta di dalam operasi tentera Muslimin untuk menyelamatkan saudaranya itu. Kepimpinan dan kehebatan jiwa dan fizikal Khaulah jelas kelihatan ketika berlakunya satu penggempuran di sekitar Damascus, Syam. Pada ketika itu, Khalid Al-Walid telah mengetuai siri peperangan tersebut.

Kisah kehandalannya yang paling masyhur adalah dalam satu operasi tentera Muslimin itu. Raafe bin Umaira panglima skuad sebelum ketibaan Khalid mengungkapkan ketakjuban tentang Khaulah yang ketika itu belum mengetahui bahawa pahlawan perang tersebut adalah Khaulah kerana dia menutup wajahnya.

"Dia berlawan seperti Khalid, namun jelas dia bukan Khalid!"

Kagum dengan pemandangan yang menkjubkan tersebut, pasukan muslimin masih belum dapat melihat siapa gerangan pahlawan itu, kecuali mengetahuinya sebagai anak muda yang menunggang kuda.

Dengan berselubung lengkap dan menutup wajahnya, Khaulah telah bergerak ke medan tempur.

Beliau menjadi seorang pejuang misteri yang begitu handal dengan berbekalkan semangat jihad dan keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT. Beliau langsung tidak memikirkan bahaya yang ada di hadapannya.

Di saat tentera Rom menyerang tanpa henti sehingga menyebabkan tentera Muslimin semakin lemah dan keletihan untuk berlawan, Khaulah telah meluncur laju ke arah musuh, membawa semangat yang berkobar-kobar lalu bertempur dengan handal dan cermat untuk membantu tentera Muslimin.

Pada ketika itu, Khaulah telah mempamerkan kehandalannya berkuda dan bertempur dengan tombak. Beliau telah membunuh dan mencederakan barisan tentera Rom tanpa memikirkan keselamatannya. Pertempurannya itu telah membangkitkan semangat tentera Muslimin untuk terus berjuang, biarpun mereka tidak mengetahui bahawa susuk tubuh yang sedang bertempur itu milik seorang wanita.

Pejuang misteri itu terus menimbulkan tanda tanya kepada pejuang Muslimin. Ketangkasannya bertempur dengan pihak musuh begitu menakjubkan bagi Khalid Al-Walid dan tenteranya. Melihat kesungguhan dan keberanian pejuang misteri itu, Khalid mengambil peluang untuk membakar semangat pejuang-pejuangnya,

"Wahai tentera Islam, berjuanglah membantu pembela agama Allah ini, perkuatlah kedudukan orang yang bersendirian itu."

Lantas pejuang-pejuang Islam terus bangkit bersama-sama Khaulah untuk memerangi pihak musuh.

Khalid al Walid mendekati sang penunggang kuda itu lalu bertanya, "Wahai pejuang, tunjukkan wajah kamu!"

Sepasang mata hitam menatap Khalid sebelum berbalik dan kembali menyerang tentera Rom.
Kemudian beberapa orang tentera Khalid menyusul dan berkata kepadanya.

"Wahai pejuang yang mulia, ketua telah memanggil dan kamu telah pergi darinya! Tunjukkanlah kepada kami wajah dan sebutkan nama kamu agar kamu dapat dihormat selayaknya."

Sang penunggang kuda itu kembali pergi seolah dengan sengaja merahsiakan identitinya. Ketika sang penunggang kuda kembali dari serangannya dia berlalu di sisi Khalid, yang menyuruhnya dengan tegas untuk berhenti.

Dia menarik kudanya berhenti, Khalid bertanya "Kamu telah berbuat banyak perkara yang memenuhi hati kami dengan kekaguman. Siapakah kamu?"

Khalid hampir terjatuh dari kudanya ketika dia mendengarkan jawapan dari penunggang kuda tersebut, kerana yang didengarnya adalah suara seorang gadis.

"Wahai ketua, bukannya aku enggan menjawab pertanyaan kamu, hanya kerana aku berasa malu, kerana kamu seorang pemimpin yang agung, sedangkan aku hanyalah perempuan biasa. Tiada lain yang mendorong aku untuk melakukan hal seperti itu melainkan kerana hati aku terbakar dan aku sangat sedih."

Beliau akhirnya mendedahkan identitinya yang telah mengejutkan tentera Muslimin, lebih-lebih lagi Khalid Al-Walid sendiri. Mereka tidak menyangka bahawa ketangkasan dan kehebatan pejuang misteri itu datangnya daripada seorang wanita. Khalid kagum dengan Al-Azwar yang menjadi ayah kepada pejuang yang berani baik lelaki mahupun perempuan.

"Kalau begitu bergabunglah bersama kami." ucap Khalid. :)

Kesedihan dan kemarahan tentang berita tertawannya saudara lelaki yang amat dikasihinya iaitu Dhirar bin Al-Azwar lantas membuatnya tampil ke medan perang sebagai pejuang dan tidak lagi berada di barisan belakang yang ditugaskan untuk merawat tentera yang cedera dan mengurus perbekalan sebagaimana yang dilakukan sebelumnya bersama para wanita yang ikut dalam peperangan.

Kekuatan dan keberaniannya mengalahkan 1000 orang tentera kafir sungguh membanggakan. Akhirnya, tentera Muslimin, bersama Khaulah berjaya membebaskan panglima Dhirar dalam satu operasi serangan berikutnya di Beit Lahiya, Gaza, Palestin.

Penyertaan Khaulah dalam peperangan tidak berakhir di situ sahaja. Beliau telah menyertai beberapa peperangan selepas itu termasuklah perang Sahura. Ketika peperangan itu berlaku, Khaulah dan beberapa orang wanita telah menjadi tawanan oleh pihak musuh. Mereka telah dikurung dan dikawal rapi selama beberapa hari lamanya tanpa senjata untuk melepaskan diri.

Berada di dalam keadaan genting seperti itu membuatkan Khaulah tidak senang duduk. Mahu menanti pihak tentera Islam menyerang balas dan menyelamatkan mereka mungkin mengambil masa yang lama. Lantas Khaulah memikirkan cara untuk melepaskan diri. Setelah memikirkannya, tidak ada cara lain yang paling berkesan melainkan membakar semangat sahabat-sahabatnya yang lain, agar terus berjuang dan bertindak pantas sebelum musuh mengapa-apakan mereka. Khaulah sedar Allah SWT sendiri yang memberi jaminan bahawa kekuatan jiwa boleh mengalahkan kekuatan senjata. Maka Khaulah pun berkata kepada sahabat-sahabatnya itu:

"Wahai sahabat-sahabatku yang sedang berjuang di jalan Allah, apakah saudari-saudari sanggup menjadi hamba kepada orang Rom yang dilaknati Allah SWT? Relakah saudari dihina dan dicaci maki oleh orang Rom durjana itu? Di manakah letaknya harga diri saudari sebagai seorang Islam yang bertaqwa? Sesungguhnya mati itu adalah lebih baik bagi kita semua daripada menjadi hamba-hamba orang Rom!"

Mendengar kata-kata yang penuh dengan keterujaan daripada Khaulah itu, seorang daripada mereka menjawab,

"Sesungguhnya apa yang engkau katakan itu adalah benar. Demi Allah, kami semua mempunyai harga diri. Pedang lebih berguna dalam keadaan begini. Kalau kita lalai umpama kambing yang tidak bertanduk tifak (mempunyai senjata)."

Perbincangan dilakukan dan masing-masing mengemukakan berbagai pendapat dan semuanya  menunjukkan ingin mati syahid. Tidak seorang pun yang mahu menjadi hamba kepada orang kafir itu. Tetapi malangnya mereka tidak mempunyai senjata hatta sebilah pisau pun. Lantas Khaulah berkata menjawab keresahan di hati sahabat-sahabatnya itu:

"Wahai wanita-wanita Muslimah sekalian, tiang-tiang dan tali khemah ini sangat berguna bagi kita dan cukuplah ini saja senjata kita. Syahid lebih baik bagi kita dan inilah saja cara yang terbaik untuk kita melepaskan diri dari kehinaan ini, sebelum mereka dapat menyentuh kita atau menyentuh salah seorang dari kita. Mari kita bersumpah untuk bersatu dalam hal ini untuk menyerah diri kepada Allah. Sesungguhnya Allah akan menolong orang-orang yang menolong-Nya."

Dengan semangat yang berkobar-kobar di dalam hati, mereka membalas, "Demi Allah, segala kata-katamu itu adalah benar. Kami tidak rela hidup dihina, syahid lebih baik bagi kami daripada hidup menanggung malu." Tekad para tawanan itu.

Setelah menetapkan harinya maka mereka pun melaksanakan perancangan yang telah dibincangkan. Sebelum bertindak, mereka berdoa bersungguh-sungguh  pada Allah dan bertaubat dengan segala dosa yang lalu. Mereka menangis dan merayu memohon Allah memberi kekuatan jiwa dan memudahkan urusan mereka. Mereka juga berharap semoga datangnya bantuan-bantuan ghaib untuk menolong mereka.

Khaulah telah mengetuai misi yang berat itu. Dia juga memimpin dan mengajar mereka untuk menjayakan perancangan menentang pihak musuh. Sebelum itu dia memberi taklimat kepada anak-anak buahnya:

"Wahai saudari, jangan sekali-kali gentar dan takut. Kita harus bersatu dalam perjuangan ini dan jangan ada yang terkecuali, patahkan tombak mereka, hancurkan pedang mereka, perbanyakkan bacaan takbir dan yang penting ialah saudari mesti kuatkan hati saudari semua. InsyaAllah pertolongan Allah sudah dekat."

Begitulah keyakinan yang ditonjolkan oleh Khaulah. Berkat keberaniannya mereka terselamat dari segala bentuk bencana itu. Orang-orang Rom ketakutan kerana serangan yang datang secara tiba-tiba. Khaulah berjaya merampas sebuah tombak lalu digunakan untuk bertempur sedangkan tiang di tangan kanannya digunakan untuk melindungi dirinya dari tusukan tombak dan libasan pedang.

Akhirnya Khaulah dan semua wanita tersebut berjaya memecah-belahkan pasukan Rom dan dapat melepaskan diri dari kafir durjana dan kembali ke pasukan Islam dengan selamatnya.

Kisah Nabi dan Pengemis Buta



“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila! Dia pembohong! Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang lalu-lalang.

Orang yang lalu-lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan namun ada juga yang tidak mempedulikannya langsung.

Pada setiap pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Begitulah kegiatan pengemis tersebut setiap harinya, selalu penuh caci maki dan hinaan terhadap Rasululah SAW.

Seperti biasa juga, Rasulullah SAW ke pasar Madinah. Apabila baginda sampai, baginda lalu menuju pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa berkata apa-apa.

Pengemis buta Yahudi tidak pernah bertanya-tanya siapakah yang menyuapkan makanan tersebut ke mulutnya. pengemis itu begitu senang dan berselera sekali apabila ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke mulutnya. hanya itu yang dia pikirkan.

Perbuatan baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda Muhammad SAW wafat. Sejak kewafatan baginda, tidak ada siapapun yang sudi menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu setiap paginya.

Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW untuk menanyakan perihal sesuatu kepadanya.

“Wahai anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar ra kepada Aisyah.

“Ayahandaku, boleh dikatakan apa saja yang Rasulullah SAW lakukan, ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.

“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”

“Setiap pagi Rasulullah selalu membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Sejak wafatnya Rasulullah, sudah tentu tidak ada lagi yang menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.

“Kalau begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.

Pada keesokan harinya, Saidina Abu Bakar membawakan makanan yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini. Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu.

“Hei! Siapakah kamu? Berani sekali kamu menyuapiku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan Sayidina Abu Bakar itu seperti kebiasaannya.

“Akulah orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,” jawab Sayidina Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.

“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu jauh lebih lembut dan sopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian barulah menyuapkan ke mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah saat hendak menelannya,” balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Sayidina Abu Bakar ra yang masih memegang makanan itu.

“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya.” beritahu Sayidina Abu Bakar sambil menyapu air matanya yang sedih.

“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?" tanya pengemis buta itu.

“Dia ialah Muhammad Rasulullah SAW. Dia telah kembali ke rahmatullah. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas SaYidina Abu Bakar ra dengan harapan pengemis itu berpuas hati.

“Dia Muhammad Rasulullah?” kata pengemis itu dengan suara yang terkedu.

“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu SaYidina Abu Bakar ra. pengemis itu pun menangis sepuas-puasnya. Setelah agak reda, barulah dia bersuara.

“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?” pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.

“Ya benar. Kamu tidak percaya?”

“Selama ini aku menghinanya, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis terdesak-desak.

“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia telah pergi meninggalkan kita,” beritahu Sayidina Abu Bakar.

“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon ampunan Allah SWT,” ujar pengemis buta itu.

Selepas peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Sayidina Abu Bakar. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui ke-Esaan Allah.

Shafiyah binti Huyai, Puteri Yahudi Isteri Rasulullah

Nama sebenarnya ialah Shafiyah binti Huyai bin Akhtab bin Sa’yah cucu dari Al-Lawi bin Nabiyullah Israel bin Nabi Ishak bin Nabi Ibrahim, termasuk keturunan Nabi Harun.





Keikhlasan dan keluhuran hati lembut wanita mengatasi segala dugaan dan ujian yang dihadapinya. Begitulah keikhlasan hati salah seorang isteri Rasulullah SAW yang sangat disenangi dan disayangi Rasulullah SAW. 

Shafiyah bukanlah seperti isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain kerana beliau bukan daripada berketurunan Arab Quraisy. Beliau adalah seorang gadis berketurunan dari satu kaum yang sentiasa menjadi musuh di awal kebangkitan Islam. Bahkan bapanya merupakan ketua kepada golongan tersebut yang sentiasa berniat untuk menentang Rasulullah SAW.

Allah telah memuliakannya dengan mentakdirkan Shafiyah menjadi salah seorang Ummahatul Mukminin. Shafiyah bukanlah nama sebenar beliau. Gelaran Shafiyah bermaksud harta rampasan perang yang terbaik untuk ketua kaum Arab. Beliau juga telah dikahwinkan dengan Rasulullah SAW kerana itulah beliau digelar Shafiyah.

Shafiyah telah dilahirkan dalam keluarga ketua bangsa Yahudi. Ayahnya Huyay bin Akhtab merupakan seorang pemimpin Yahudi Bani Nadhir yang berkuasa di kawasan bernama Khaibar yang terletak di sebelah barat laut Kota Madinah. Wanita yang melahirkannya pula bernama Darrah binti Samail. Beliau merupakan puteri kepada ketua Bani Quraizah. 

Shafiyah dibesarkan dalam keluarga kaya yang sangat berpengaruh di kalangan masyarakatnya. Kerana itu beliau memperolehi pendidikan yang sempurna daripada keluarganya.

Ketika Shafiyah meningkat remaja, beliau adalah gadis yang sungguh cantik dan menawan. Beliau memiliki kulit yang putih kemerahan, bersih dan berseri. Bukan setakat paras rupa yang cantik sahaja, malah beliau juga mempunyai akhlak yang baik dan budi bahasa yang tinggi. 

Umpama bunga yang sedang mekar di taman, begitulah Shafiyah yang semakin dewasa, kecantikannya telah menarik perhatian ramai pemuda yang hebat untuk memetik bunga di taman dan menyuntingnya sebagai permaisuri di hati. Ramai pemuda datang bertemu orang tua beliau untuk tujuan peminangan. Jadi ayahnya perlu berhati-hati memilih siapakah yang layak menjadi menantunya.

Akhirnya, pilihan hatinya jatuh kepada Sallam Ibn Misham. Sallam adalah salah seorang penghulu kaum Yahudi. Walaupun majlis perkahwinan Shafiyah dan Sallam diadakan dengan meriah, namun jodoh mereka tidak bertahan lama. Setelah perkahwinan itu terhenti di tengah jalan, Shafiyah kembali tinggal bersama keluarga beliau.

Shafiyah masih tetap cantik walaupun sudah menjadi janda. Jadi ramailah lelaki berhasrat untuk memperisterikan beliau. Di kalangan ramai lelaki yang meminangnya, Shafiyah membuat keputusan untuk menerima lamaran ketua kabilah berketurunan sebelah ibu beliau iaitu Kinanah Ibn Rabi’. Bahtera perkahwinan Shafiyah kali kedua ini meneruskan pelayaran di lautan kehidupan yang mengekalkannya menjadi wanita mulia kaum Yahudi.

Rasulullah SAW dan para sahabat telah melakukan pembersihan di Kota Madinah. Oleh itu, Baginda telah meluaskan dakwahnya ke Khaibar. Di situlah kaum Yahudi masih enggan menerima cahaya Islam. Kaum Yahudi di Khaibar yang diketuai oleh Huyay menolak dakwah baginda Rasulullah SAW. 

Oleh itu, kaum Muslimin terpaksa bertindak tegas dalam menyampaikan dakwah Islam kepada mereka. Maka berlakulah pertempuran yang dahsyat antara kaum Yahudi dan tentera Muslimin di Khaibar.

Dalam peperangan itulah suami, bapa, saudara lelaki dan seluruh keluarga Shafiyah terbunuh. Beliau telah ditawan oleh tentera Muslimin. Kekalahan yang dialami oleh puak Yahudi berlaku dengan teruk sekali. Kaum Yahudi telah kehilangan para pemimpin mereka yang juga merupakan ahli keluarga Shafiyah. Oleh yang demikian itu, di kalangan tawanan perang, keadaan Shafiyah lah yang paling menyedihkan. 

Selepas peperangan Khaibar, kaum Muslimin membawa Shafiyah dan sepupunya kepada Nabi Muhammad SAW. Shafiyah kelihatan diam dan ketakutan. Manakala sepupunya menjerit, menangis dan menyapu debu di kepalanya kerana terlalu sebak melihat ahli keluarga yang terkorban. Sungguhpun begitu, mereka berdua dilayan dengan baik oleh tentera Muslimin. 

Apabila Shafiyah bertemu dengan Rasulullah SAW, baginda telah mengambil jubahnya dan meletakkan di bahu Shafiyah. Apa yang dilakukan oleh baginda adalah sebagai menyatakan tanda kasihan kepada Shafiyah. Walaupun begitu, jauh di lubuk hati Shafiyah sebenarnya merasakan beliau telah dimuliakan dan diberi penghormatan yang tinggi dalam masyarakat Muslim ketika itu.

Sejurus selepas peperangan, salah seorang tentera Islam bernama Dehiah Kalbi telah meminta kepada Rasulullah SAW seorang tawanan wanita. Lalu baginda membenarkannya memilih salah seorang daripada mereka. Lalu Dehiah membuat keputusan untuk memilih Shafiyah. 

Seorang tentera Islam telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Shafiyah yang menjadi pilihan Dehiah merupakan wanita dari ketua Bani Nadhir dan Bani Quraizah yang sepatutnya menjadi hak Rasulullah SAW. Shafiyah tidak sepatutnya dilayan seperti wanita biasa kerana beliau seorang wanita terhormat dari kaum Yahudi. Akhirnya baginda telah menggantikan wanita lain kepada Dehiah sebagai hambanya.

Oleh kerana Shafiyah sudah menjadi sebatang kara tanpa saudara mara, Nabi Muhammad SAW merasa kasihan terhadap Shafiyah yang tidak mempunyai hubungan dalam permusuhan dan terpaksa menanggung akibatnya. Dengan keadaan itu, baginda tidak akan meninggalkan Shafiyah selepas bapa, suami dan saudara beliau dibunuh oleh orang yang berlainan agama.

Shafiyah telah diajak memeluk Islam oleh Rasulullah SAW. Kemudian baginda melamar beliau dan Shafiyah menerimanya dengan gembira. Beliau begitu gembira kerana telah menjadi sebahagian ahli keluarga Nabi Muhammad SAW dengan gelaran ‘Ummul Mukminin’.

Semasa dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah SAW singgah di Saba’ kira-kira lapan batu dari Khaibar. Di tempat persinggahan itulah baginda mengahwini Shafiyah. Shafiyah telah diandam dan dihias sebagai pengantin oleh Ummu Sulaim, iaitu ibu kepada Anas bin Malik. 

Rasulullah SAW dan Shafiyah bermalam di sana dan khemah mereka dikawal ketat sepanjang malam oleh Abu Ayyub bin Al-Ansari. Pada keesokkan harinya, Rasulullah SAW mendapati Ayyub berjalan mundar-mandir di hadapan khemah baginda. Rasulullah SAW bertanyakan keadaan Ayyub itu. 

Lalu Ayyub menjawab “Saya khuatir kalau-kalau Rasulullah menghadapi sebarang bahaya kerana wanita ini kita telah bunuh keluarganya dan dia baru sahaja meninggalkan kekafirannya. Kerana itulah saya khuatir kalau-kalau dia mencederakan Rasulullah.”

Mendengar penjelasan ikhlas Ayyub itu, lalu baginda telah mendoakan Ayyub: “Ya Allah, peliharalah Ayyub sebagaimana dia semalaman menjagaku.”

Rombongan Rasulullah SAW dan tentera Muslimin meneruskan perjalanan dari Saba’ ke Madinah. Ketika hendak memulakan perjalanan, Rasulullah SAW menaikkan Shafiyah ke unta baginda dan menyelubungi beliau dengan jubah baginda sendiri menandakan Shafiyah telah menjadi isteri baginda. Shafiyah sungguh gembira sehinggakan lupa terhadap tragedi yang telah menimpa diri dan keluarga beliau.

Sejurus Shafiyah sampai di Madinah, salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang ikhlas bernama Haris bin Nu’man telah memberi penghormatan dengan menumpangkan wanita yang terhormat itu di rumahnya. Haris merupakan sahabat Nabi SAW yang sangat baik dan sentiasa membelanjakan wangnya demi Rasulullah SAW.

Shafiyah terkenal dengan kecantikannya. Beliau bertubuh rendah tetapi sangat cantik. Oleh kerana itu, ramai wanita Ansar berkumpul dalam rumah itu untuk melihat Shafiyah. Wanita-wanita itu termasuklah isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain turut melihatnya.

Ketika Sayidatina Aisyah pulang dari melihat Shafiyah, Rasulullah mendapatkan beliau.

“Bagaimanakah pendapatmu tentang Shafiyah?” Tanya Rasulullah SAW.

“Dia wanita Yahudi.” Jawab Sayidatina Aisyah.

“Janganlah berkata begitu wahai Aisyah. Shafiyah telah pun memeluk Islam dan Islamnya adalah lebih baik.” Jelas Rasulullah SAW kepada Sayidatina Aisyah.

Seperti yang dijangka, ketibaan Shafiyah di Madinah tidak diterima baik oleh isteri-isteri baginda yang lain. Ini kerana ramai di kalangan mereka yang cemburu melihat kecantikan Shafiyah. Mereka selalu mengejek Shafiyah yang berketurunan Yahudi. Walaupun begitu, Shafiyah tetap bahagia kerana dilayan baik daripada Rasulullah SAW.

Tidak dinafikan kadang-kadang Shafiyah terlalu sedih dengan keadaan isteri-isteri baginda. Sehinggakan pada suatu hari Shafiyah mendapatkan Nabi Muhammad SAW sambil menangis kesedihan. 

Lalu baginda memujuk Shafiyah dengan berkata: “Katakanlah kepada mereka bahawa bapamu ialah Nabi Harun manakala Nabi Musa adalah bapa saudaramu dan suamimu Nabi Muhammad SAW, kekasih Allah.”

Baginda terus memujuk Shafiyah dengan mengatakan bahawa baginda mengahwini Shafiyah adalah kerana perintah Allah. Kata-kata Rasulullah SAW itu menjadi pengubat hati beliau yang tercalar dengan ejekan isteri-isteri baginda yang lain. Bahkan kata-kata Rasulullah SAW itu menambahkan kekuatan bagi diri Shafiyah untuk menghadapi segala ujian. 

Pernah pada suatu hari, semasa Shafiyah mengikut Rasulullah SAW berjalan-jalan bersama isteri-isteri baginda yang lain. Sedang dalam perjalanan, unta Shafiyah jatuh sakit. Ketika itu Zainab membawa unta lain. Lalu baginda meminta Zainab memberikan seekor unta beliau kepada Shafiyah. 

Zainab berkata, “Haruskah saya memberikannya kepada wanita Yahudi itu?”

Rasulullah SAW begitu marah dengan kata-kata Zainab itu. Baginda mengambil keputusan tidak mahu menziarahi Zainab selama tiga bulan.

---------------------------

Hati lembut Shafiyah begitu ketara. Shafiyah sangat sensitif dengan keadaan sekelilingnya. Bahkan keperibadian Shafiyah yang mudah berpuas hati dan pemurah. Beliau sangat rapat dengan puteri kesayangan Rasulullah SAW, Sayidatina Fatimah. Shafiyah telah memberikan subang emas kepada Sayidatina Fatimah dan isteri-isteri baginda yang lain selepas beliau berkahwin dengan Rasululullah SAW.

Shafiyah seorang yang tenang, lemah lembut, penyabar dan bersopan santun. Beliau juga seorang yang tabah. Selepas kemenangan Muslimin dalam peperangan Khaibar, Bilal bin Rabah telah membawa Shafiyah dan sepupunya melalui kawasan di mana mayat-mayat orang-orang Yahudi bergelimpangan termasuklah mayat kaum kerabat dan suami yang dicintai. Sepupunya itu tidak dapat menahan sebak melihat keadaan itu. Dia menangis sekuat hatinya. Tetapi Shafiyah tampak tenang dan tidak menunjukkan tanda sedih dan tertekan.

Beliau amat menyayangi Rasulullah SAW. Shafiyah gemar memasak makanan yang sedap dan menghantarkannya kepada Rasulullah SAW. Beliau begitu mencintai Rasulullah SAW sepenuh hatinya. 

Ketika Rasulullah SAW jatuh sakit, Shafiyah tidak dapat menahan sebak melihat kesakitan yang sedang dialami oleh suaminya yang mulia itu lalu menangis dan berkata, “Wahai Rasulullah SAW, kalaulah aku dapat menanggung semua penderitaanmu itu sendiri supaya engkau merasa ringan dengan kesakitanmu.”

Isteri-isteri baginda yang lain terkejut mendengar kata-kata Shafiyah itu. Mereka berasa cemburu. 

Tetapi baginda mengatakan, “Demi Allah, sesungguhnya Shafiyah adalah benar.”

-----------------------

Keikhlasannya terhadap Nabi SAW tidak dapat dipertikaikan. Beliau bukan sahaja menyayangi Rasulullah SAW, bahkan sangat menghormati baginda sebagai pesuruh Allah. 

Beliau pernah mendengar perbualan ayah dan bapa saudara beliau tentang Rasulullah SAW. setelah pergi ke Madinah untuk melihat baginda untuk memastikan sama ada baginda benar-benar Rasul Allah seperti yang diperkatakan dalam kitab suci mereka. Tanpa mereka menyedari, Shafiyah telah mendengar perbualan itu. 

Salah seorang mereka berkata: “Apakah pandangan engkau tentang Raja Arab (Nabi Muhammad) itu?”

“Beliau adalah Nabi yang diperkatakan dalam kitab kita.” Jawab seorang lagi.

Sejak peristiwa itulah Shafiyah benar-benar yakin tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah. Bahkan mimpi yang pernah dialaminya ketika Shafiyah masih berada di samping suaminya, Kinanah lagi. 

Beliau pernah bermimpi melihat bulan dari Yathrib jatuh ke pangkuannya. Apabila Shafiyah menceritakan mimpi yang dialaminya itu kepada Kinanah, lalu Kinanah berkata, “Engkau ingin berkahwin dengan raja yang datang dari Madinah itu?”

Kemudian Kinanah menampar muka Shafiyah dan tamparan itu meninggalkan bekas kebiru-biruan pada mata beliau.

____________________

Shafiyah amat tertarik dengan ajaran yang disampaikan oleh Nabi SAW. Beliau mencintai konsep kemanusiaan Islam dengan sempurna. Shafiyah sentiasa mematuhi semua ajaran agama dan menghormati hukum-hukum Islam dengan ikhlas. Beliau menjadi seorang Yahudi yang beriman kepada Allah dan berbangga kerana memeluk agama Islam yang suci dan benar.

Ketika zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab, salah seorang khadam Shafiyah telah mengadu kepada Sayidina Umar dengan mengatakan Shafiyah masih lagi menyukai hari Sabtu dan menyayangi Yahudi. Lalu Umar pergi menemui Shafiyah dan bertanyakan hal itu. 

Dengan wajah yang tenang, Shafiyah menerangkan situasi tersebut, “Wahai Umar, Allah telah memberi hari Jumaat sebagai ganti hari Sabtu dan saya lebih memuliakan hari Jumaat. Dan tentang Yahudi, memang benar saya menghubungkan silaturrahim dengan mereka kerana saya mempunyai hubungan keluarga dengan mereka.”

Akhirnya Sayidina Umar berpuas hati dengan jawapan Shafiyah yang jujur itu.

Tidak lama kemudian, setelah khadam beliau kembali, Shafiyah mendekatinya dan bertanya apakah yang mendorong dia membuat aduan palsu tentang diri beliau. 

Pelayan itu menjawab, “Saya telah didorong oleh Syaitan.” Jelas si pelayan itu.

Dengan kebijaksanaan, Shafiyah telah memerdekakan khadam tersebut.

_____________________

Dalam tahun 35 Hijrah, ketika Sayidina Uthman bin Affan dikepung oleh para pemberontak di dalam rumah beliau, Shafiyah telah membantu dengan membawa beg makanan dan air kepada Sayidina Uthman. 

Dalam perjalanan, ketua pemberontak, Ushtar telah menghalang beliau. Shafiyah terpaksa kembali ke rumah dan mewakilkan Hassan, cucu Rasulullah SAW untuk membawa barang-barang itu kepada Sayidina Uthman. Tindakan Shafiyah ini dipuji kerana kepandaian dan kecerdikannya membantu Sayidina Uthman.

_____________________

Seperti Ummul Mukminin yang lain, Shafiyah juga adalah gudang ilmu. Mereka yang mencari ilmu biasa berkumpul di rumah beliau untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Setelah pulang dari menunaikan haji, rumah Shafiyah dikunjungi ramai wanita dari jauh seperti Kufah dan bertanya pelbagai soalan kepada beliau. Walau bagaimanapun Shafiyah menjawab dengan tepat dan berkesan setiap persoalan yang diutarakan kepada beliau.

Terdapat juga sejumlah hadis yang diriwayatkan daripada Shafiyah. Terdapat juga imam-imam yang terkenal mengambil hadith daripada beliau. Antaranya ialah Muslim bin Safuan, Yazid bin Makhtab, Ishaq bin Abdullah dan ramai lagi. 

Abdul Birr pernah berkata, “Shafiyah binti Huyai adalah seorang wanita yang bijaksana, berpengetahuan dan lemah lembut.”

Shafiyah telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 50 Hijrah ketika usianya mencecah 60 tahun. Beliau dikebumikan di Jannatul Baqi’.

Sebelum beliau pergi, Shafiyah telah mewasiatkan 1/3 daripada harta pusaka yang bernilai 100,000 dirham untuk anak lelaki adik perempuannya yang masih Yahudi. Sikapnya yang prihatin ini menunjukkan bahawa beliau sangat mengambil perhatian terhadap hubungan kekeluargaannya.

Begitulah perginya Shafiyah yang memiliki banyak sifat terpuji. Beliau sangat pintar, berpelajaran dan lemah lembut. Sifat semula jadi yang penyabar dan lemah lembut menjadikan diri beliau berperibadi Muslim yang unggul.