Shafiyah binti Huyai, Puteri Yahudi Isteri Rasulullah

Nama sebenarnya ialah Shafiyah binti Huyai bin Akhtab bin Sa’yah cucu dari Al-Lawi bin Nabiyullah Israel bin Nabi Ishak bin Nabi Ibrahim, termasuk keturunan Nabi Harun.





Keikhlasan dan keluhuran hati lembut wanita mengatasi segala dugaan dan ujian yang dihadapinya. Begitulah keikhlasan hati salah seorang isteri Rasulullah SAW yang sangat disenangi dan disayangi Rasulullah SAW. 

Shafiyah bukanlah seperti isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain kerana beliau bukan daripada berketurunan Arab Quraisy. Beliau adalah seorang gadis berketurunan dari satu kaum yang sentiasa menjadi musuh di awal kebangkitan Islam. Bahkan bapanya merupakan ketua kepada golongan tersebut yang sentiasa berniat untuk menentang Rasulullah SAW.

Allah telah memuliakannya dengan mentakdirkan Shafiyah menjadi salah seorang Ummahatul Mukminin. Shafiyah bukanlah nama sebenar beliau. Gelaran Shafiyah bermaksud harta rampasan perang yang terbaik untuk ketua kaum Arab. Beliau juga telah dikahwinkan dengan Rasulullah SAW kerana itulah beliau digelar Shafiyah.

Shafiyah telah dilahirkan dalam keluarga ketua bangsa Yahudi. Ayahnya Huyay bin Akhtab merupakan seorang pemimpin Yahudi Bani Nadhir yang berkuasa di kawasan bernama Khaibar yang terletak di sebelah barat laut Kota Madinah. Wanita yang melahirkannya pula bernama Darrah binti Samail. Beliau merupakan puteri kepada ketua Bani Quraizah. 

Shafiyah dibesarkan dalam keluarga kaya yang sangat berpengaruh di kalangan masyarakatnya. Kerana itu beliau memperolehi pendidikan yang sempurna daripada keluarganya.

Ketika Shafiyah meningkat remaja, beliau adalah gadis yang sungguh cantik dan menawan. Beliau memiliki kulit yang putih kemerahan, bersih dan berseri. Bukan setakat paras rupa yang cantik sahaja, malah beliau juga mempunyai akhlak yang baik dan budi bahasa yang tinggi. 

Umpama bunga yang sedang mekar di taman, begitulah Shafiyah yang semakin dewasa, kecantikannya telah menarik perhatian ramai pemuda yang hebat untuk memetik bunga di taman dan menyuntingnya sebagai permaisuri di hati. Ramai pemuda datang bertemu orang tua beliau untuk tujuan peminangan. Jadi ayahnya perlu berhati-hati memilih siapakah yang layak menjadi menantunya.

Akhirnya, pilihan hatinya jatuh kepada Sallam Ibn Misham. Sallam adalah salah seorang penghulu kaum Yahudi. Walaupun majlis perkahwinan Shafiyah dan Sallam diadakan dengan meriah, namun jodoh mereka tidak bertahan lama. Setelah perkahwinan itu terhenti di tengah jalan, Shafiyah kembali tinggal bersama keluarga beliau.

Shafiyah masih tetap cantik walaupun sudah menjadi janda. Jadi ramailah lelaki berhasrat untuk memperisterikan beliau. Di kalangan ramai lelaki yang meminangnya, Shafiyah membuat keputusan untuk menerima lamaran ketua kabilah berketurunan sebelah ibu beliau iaitu Kinanah Ibn Rabi’. Bahtera perkahwinan Shafiyah kali kedua ini meneruskan pelayaran di lautan kehidupan yang mengekalkannya menjadi wanita mulia kaum Yahudi.

Rasulullah SAW dan para sahabat telah melakukan pembersihan di Kota Madinah. Oleh itu, Baginda telah meluaskan dakwahnya ke Khaibar. Di situlah kaum Yahudi masih enggan menerima cahaya Islam. Kaum Yahudi di Khaibar yang diketuai oleh Huyay menolak dakwah baginda Rasulullah SAW. 

Oleh itu, kaum Muslimin terpaksa bertindak tegas dalam menyampaikan dakwah Islam kepada mereka. Maka berlakulah pertempuran yang dahsyat antara kaum Yahudi dan tentera Muslimin di Khaibar.

Dalam peperangan itulah suami, bapa, saudara lelaki dan seluruh keluarga Shafiyah terbunuh. Beliau telah ditawan oleh tentera Muslimin. Kekalahan yang dialami oleh puak Yahudi berlaku dengan teruk sekali. Kaum Yahudi telah kehilangan para pemimpin mereka yang juga merupakan ahli keluarga Shafiyah. Oleh yang demikian itu, di kalangan tawanan perang, keadaan Shafiyah lah yang paling menyedihkan. 

Selepas peperangan Khaibar, kaum Muslimin membawa Shafiyah dan sepupunya kepada Nabi Muhammad SAW. Shafiyah kelihatan diam dan ketakutan. Manakala sepupunya menjerit, menangis dan menyapu debu di kepalanya kerana terlalu sebak melihat ahli keluarga yang terkorban. Sungguhpun begitu, mereka berdua dilayan dengan baik oleh tentera Muslimin. 

Apabila Shafiyah bertemu dengan Rasulullah SAW, baginda telah mengambil jubahnya dan meletakkan di bahu Shafiyah. Apa yang dilakukan oleh baginda adalah sebagai menyatakan tanda kasihan kepada Shafiyah. Walaupun begitu, jauh di lubuk hati Shafiyah sebenarnya merasakan beliau telah dimuliakan dan diberi penghormatan yang tinggi dalam masyarakat Muslim ketika itu.

Sejurus selepas peperangan, salah seorang tentera Islam bernama Dehiah Kalbi telah meminta kepada Rasulullah SAW seorang tawanan wanita. Lalu baginda membenarkannya memilih salah seorang daripada mereka. Lalu Dehiah membuat keputusan untuk memilih Shafiyah. 

Seorang tentera Islam telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Shafiyah yang menjadi pilihan Dehiah merupakan wanita dari ketua Bani Nadhir dan Bani Quraizah yang sepatutnya menjadi hak Rasulullah SAW. Shafiyah tidak sepatutnya dilayan seperti wanita biasa kerana beliau seorang wanita terhormat dari kaum Yahudi. Akhirnya baginda telah menggantikan wanita lain kepada Dehiah sebagai hambanya.

Oleh kerana Shafiyah sudah menjadi sebatang kara tanpa saudara mara, Nabi Muhammad SAW merasa kasihan terhadap Shafiyah yang tidak mempunyai hubungan dalam permusuhan dan terpaksa menanggung akibatnya. Dengan keadaan itu, baginda tidak akan meninggalkan Shafiyah selepas bapa, suami dan saudara beliau dibunuh oleh orang yang berlainan agama.

Shafiyah telah diajak memeluk Islam oleh Rasulullah SAW. Kemudian baginda melamar beliau dan Shafiyah menerimanya dengan gembira. Beliau begitu gembira kerana telah menjadi sebahagian ahli keluarga Nabi Muhammad SAW dengan gelaran ‘Ummul Mukminin’.

Semasa dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah SAW singgah di Saba’ kira-kira lapan batu dari Khaibar. Di tempat persinggahan itulah baginda mengahwini Shafiyah. Shafiyah telah diandam dan dihias sebagai pengantin oleh Ummu Sulaim, iaitu ibu kepada Anas bin Malik. 

Rasulullah SAW dan Shafiyah bermalam di sana dan khemah mereka dikawal ketat sepanjang malam oleh Abu Ayyub bin Al-Ansari. Pada keesokkan harinya, Rasulullah SAW mendapati Ayyub berjalan mundar-mandir di hadapan khemah baginda. Rasulullah SAW bertanyakan keadaan Ayyub itu. 

Lalu Ayyub menjawab “Saya khuatir kalau-kalau Rasulullah menghadapi sebarang bahaya kerana wanita ini kita telah bunuh keluarganya dan dia baru sahaja meninggalkan kekafirannya. Kerana itulah saya khuatir kalau-kalau dia mencederakan Rasulullah.”

Mendengar penjelasan ikhlas Ayyub itu, lalu baginda telah mendoakan Ayyub: “Ya Allah, peliharalah Ayyub sebagaimana dia semalaman menjagaku.”

Rombongan Rasulullah SAW dan tentera Muslimin meneruskan perjalanan dari Saba’ ke Madinah. Ketika hendak memulakan perjalanan, Rasulullah SAW menaikkan Shafiyah ke unta baginda dan menyelubungi beliau dengan jubah baginda sendiri menandakan Shafiyah telah menjadi isteri baginda. Shafiyah sungguh gembira sehinggakan lupa terhadap tragedi yang telah menimpa diri dan keluarga beliau.

Sejurus Shafiyah sampai di Madinah, salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang ikhlas bernama Haris bin Nu’man telah memberi penghormatan dengan menumpangkan wanita yang terhormat itu di rumahnya. Haris merupakan sahabat Nabi SAW yang sangat baik dan sentiasa membelanjakan wangnya demi Rasulullah SAW.

Shafiyah terkenal dengan kecantikannya. Beliau bertubuh rendah tetapi sangat cantik. Oleh kerana itu, ramai wanita Ansar berkumpul dalam rumah itu untuk melihat Shafiyah. Wanita-wanita itu termasuklah isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain turut melihatnya.

Ketika Sayidatina Aisyah pulang dari melihat Shafiyah, Rasulullah mendapatkan beliau.

“Bagaimanakah pendapatmu tentang Shafiyah?” Tanya Rasulullah SAW.

“Dia wanita Yahudi.” Jawab Sayidatina Aisyah.

“Janganlah berkata begitu wahai Aisyah. Shafiyah telah pun memeluk Islam dan Islamnya adalah lebih baik.” Jelas Rasulullah SAW kepada Sayidatina Aisyah.

Seperti yang dijangka, ketibaan Shafiyah di Madinah tidak diterima baik oleh isteri-isteri baginda yang lain. Ini kerana ramai di kalangan mereka yang cemburu melihat kecantikan Shafiyah. Mereka selalu mengejek Shafiyah yang berketurunan Yahudi. Walaupun begitu, Shafiyah tetap bahagia kerana dilayan baik daripada Rasulullah SAW.

Tidak dinafikan kadang-kadang Shafiyah terlalu sedih dengan keadaan isteri-isteri baginda. Sehinggakan pada suatu hari Shafiyah mendapatkan Nabi Muhammad SAW sambil menangis kesedihan. 

Lalu baginda memujuk Shafiyah dengan berkata: “Katakanlah kepada mereka bahawa bapamu ialah Nabi Harun manakala Nabi Musa adalah bapa saudaramu dan suamimu Nabi Muhammad SAW, kekasih Allah.”

Baginda terus memujuk Shafiyah dengan mengatakan bahawa baginda mengahwini Shafiyah adalah kerana perintah Allah. Kata-kata Rasulullah SAW itu menjadi pengubat hati beliau yang tercalar dengan ejekan isteri-isteri baginda yang lain. Bahkan kata-kata Rasulullah SAW itu menambahkan kekuatan bagi diri Shafiyah untuk menghadapi segala ujian. 

Pernah pada suatu hari, semasa Shafiyah mengikut Rasulullah SAW berjalan-jalan bersama isteri-isteri baginda yang lain. Sedang dalam perjalanan, unta Shafiyah jatuh sakit. Ketika itu Zainab membawa unta lain. Lalu baginda meminta Zainab memberikan seekor unta beliau kepada Shafiyah. 

Zainab berkata, “Haruskah saya memberikannya kepada wanita Yahudi itu?”

Rasulullah SAW begitu marah dengan kata-kata Zainab itu. Baginda mengambil keputusan tidak mahu menziarahi Zainab selama tiga bulan.

---------------------------

Hati lembut Shafiyah begitu ketara. Shafiyah sangat sensitif dengan keadaan sekelilingnya. Bahkan keperibadian Shafiyah yang mudah berpuas hati dan pemurah. Beliau sangat rapat dengan puteri kesayangan Rasulullah SAW, Sayidatina Fatimah. Shafiyah telah memberikan subang emas kepada Sayidatina Fatimah dan isteri-isteri baginda yang lain selepas beliau berkahwin dengan Rasululullah SAW.

Shafiyah seorang yang tenang, lemah lembut, penyabar dan bersopan santun. Beliau juga seorang yang tabah. Selepas kemenangan Muslimin dalam peperangan Khaibar, Bilal bin Rabah telah membawa Shafiyah dan sepupunya melalui kawasan di mana mayat-mayat orang-orang Yahudi bergelimpangan termasuklah mayat kaum kerabat dan suami yang dicintai. Sepupunya itu tidak dapat menahan sebak melihat keadaan itu. Dia menangis sekuat hatinya. Tetapi Shafiyah tampak tenang dan tidak menunjukkan tanda sedih dan tertekan.

Beliau amat menyayangi Rasulullah SAW. Shafiyah gemar memasak makanan yang sedap dan menghantarkannya kepada Rasulullah SAW. Beliau begitu mencintai Rasulullah SAW sepenuh hatinya. 

Ketika Rasulullah SAW jatuh sakit, Shafiyah tidak dapat menahan sebak melihat kesakitan yang sedang dialami oleh suaminya yang mulia itu lalu menangis dan berkata, “Wahai Rasulullah SAW, kalaulah aku dapat menanggung semua penderitaanmu itu sendiri supaya engkau merasa ringan dengan kesakitanmu.”

Isteri-isteri baginda yang lain terkejut mendengar kata-kata Shafiyah itu. Mereka berasa cemburu. 

Tetapi baginda mengatakan, “Demi Allah, sesungguhnya Shafiyah adalah benar.”

-----------------------

Keikhlasannya terhadap Nabi SAW tidak dapat dipertikaikan. Beliau bukan sahaja menyayangi Rasulullah SAW, bahkan sangat menghormati baginda sebagai pesuruh Allah. 

Beliau pernah mendengar perbualan ayah dan bapa saudara beliau tentang Rasulullah SAW. setelah pergi ke Madinah untuk melihat baginda untuk memastikan sama ada baginda benar-benar Rasul Allah seperti yang diperkatakan dalam kitab suci mereka. Tanpa mereka menyedari, Shafiyah telah mendengar perbualan itu. 

Salah seorang mereka berkata: “Apakah pandangan engkau tentang Raja Arab (Nabi Muhammad) itu?”

“Beliau adalah Nabi yang diperkatakan dalam kitab kita.” Jawab seorang lagi.

Sejak peristiwa itulah Shafiyah benar-benar yakin tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah. Bahkan mimpi yang pernah dialaminya ketika Shafiyah masih berada di samping suaminya, Kinanah lagi. 

Beliau pernah bermimpi melihat bulan dari Yathrib jatuh ke pangkuannya. Apabila Shafiyah menceritakan mimpi yang dialaminya itu kepada Kinanah, lalu Kinanah berkata, “Engkau ingin berkahwin dengan raja yang datang dari Madinah itu?”

Kemudian Kinanah menampar muka Shafiyah dan tamparan itu meninggalkan bekas kebiru-biruan pada mata beliau.

____________________

Shafiyah amat tertarik dengan ajaran yang disampaikan oleh Nabi SAW. Beliau mencintai konsep kemanusiaan Islam dengan sempurna. Shafiyah sentiasa mematuhi semua ajaran agama dan menghormati hukum-hukum Islam dengan ikhlas. Beliau menjadi seorang Yahudi yang beriman kepada Allah dan berbangga kerana memeluk agama Islam yang suci dan benar.

Ketika zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab, salah seorang khadam Shafiyah telah mengadu kepada Sayidina Umar dengan mengatakan Shafiyah masih lagi menyukai hari Sabtu dan menyayangi Yahudi. Lalu Umar pergi menemui Shafiyah dan bertanyakan hal itu. 

Dengan wajah yang tenang, Shafiyah menerangkan situasi tersebut, “Wahai Umar, Allah telah memberi hari Jumaat sebagai ganti hari Sabtu dan saya lebih memuliakan hari Jumaat. Dan tentang Yahudi, memang benar saya menghubungkan silaturrahim dengan mereka kerana saya mempunyai hubungan keluarga dengan mereka.”

Akhirnya Sayidina Umar berpuas hati dengan jawapan Shafiyah yang jujur itu.

Tidak lama kemudian, setelah khadam beliau kembali, Shafiyah mendekatinya dan bertanya apakah yang mendorong dia membuat aduan palsu tentang diri beliau. 

Pelayan itu menjawab, “Saya telah didorong oleh Syaitan.” Jelas si pelayan itu.

Dengan kebijaksanaan, Shafiyah telah memerdekakan khadam tersebut.

_____________________

Dalam tahun 35 Hijrah, ketika Sayidina Uthman bin Affan dikepung oleh para pemberontak di dalam rumah beliau, Shafiyah telah membantu dengan membawa beg makanan dan air kepada Sayidina Uthman. 

Dalam perjalanan, ketua pemberontak, Ushtar telah menghalang beliau. Shafiyah terpaksa kembali ke rumah dan mewakilkan Hassan, cucu Rasulullah SAW untuk membawa barang-barang itu kepada Sayidina Uthman. Tindakan Shafiyah ini dipuji kerana kepandaian dan kecerdikannya membantu Sayidina Uthman.

_____________________

Seperti Ummul Mukminin yang lain, Shafiyah juga adalah gudang ilmu. Mereka yang mencari ilmu biasa berkumpul di rumah beliau untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Setelah pulang dari menunaikan haji, rumah Shafiyah dikunjungi ramai wanita dari jauh seperti Kufah dan bertanya pelbagai soalan kepada beliau. Walau bagaimanapun Shafiyah menjawab dengan tepat dan berkesan setiap persoalan yang diutarakan kepada beliau.

Terdapat juga sejumlah hadis yang diriwayatkan daripada Shafiyah. Terdapat juga imam-imam yang terkenal mengambil hadith daripada beliau. Antaranya ialah Muslim bin Safuan, Yazid bin Makhtab, Ishaq bin Abdullah dan ramai lagi. 

Abdul Birr pernah berkata, “Shafiyah binti Huyai adalah seorang wanita yang bijaksana, berpengetahuan dan lemah lembut.”

Shafiyah telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 50 Hijrah ketika usianya mencecah 60 tahun. Beliau dikebumikan di Jannatul Baqi’.

Sebelum beliau pergi, Shafiyah telah mewasiatkan 1/3 daripada harta pusaka yang bernilai 100,000 dirham untuk anak lelaki adik perempuannya yang masih Yahudi. Sikapnya yang prihatin ini menunjukkan bahawa beliau sangat mengambil perhatian terhadap hubungan kekeluargaannya.

Begitulah perginya Shafiyah yang memiliki banyak sifat terpuji. Beliau sangat pintar, berpelajaran dan lemah lembut. Sifat semula jadi yang penyabar dan lemah lembut menjadikan diri beliau berperibadi Muslim yang unggul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan